"berakit ke hulu,
berenang ke tepian,
jumpa dia dahulu,
jangan dikemudian."
Melihat ke arah terbitnya matahari, tidak terasa aku sudah berada di sini lebih dari 1 tahun. Andainya kau ada bersama ku di sini, mungkin hidup tidak sesunyi begini. Oh! Entah kenapa harini, perasaan ku terasa bak berdebar dan ingin berjumpa. Dan bila ku pejamkan mata dan berdoa, si dia yang lain datang mengetuk pintu hati ini. Mengapa bukan engkau?
Hidup kita berdua dipisahkan oleh lautan yang amat dalam dan jauh. Bagi orang yang bercinta, adakah lautan ini dapat direnangi? Mungkin kita dulu pernah menjanjikan "Lautan api pun sanggup ku renangi..." Namun, ternyata, kopi panas kau tiup juga sebelum menghirupnya...
Ya, aku mampu untuk datang dan menyempurnakan apa yang kurang pada engkau. Tapi, maafkan aku. Pelampung yang aku miliki kian bocor, menanti engkau di lautan ini dengan hasrat kau akan datang kembali. Bagaikan menanti lautan yang berapi.
Pelampung ku kian bocor... Dan mungkin aku sudah tidak dapat bertahan lagi... Aku pejamkan mata, ombak membawa ku ke sini..Mungkin kah ini dinamakan ombak rindu?
Entah mengapa aku tidak pernah menduga bahawa ombak ini akan datang dan menghempap pantai? Malah membawa kekotoran lautan untuk terdampar di pulau ini. Begitu juga aku, sekarang ini. Ombak ini lah yang menyelamatkan aku yang bakal jauh tenggelam ke dasar lautan asmara ini.
Comments